Pada waktu umat manusia dalam kegelapan
dan suasana jahiliyyah, lahirlah seorang
bayi pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah di
Makkah. Bayi yang dilahirkan bakal
membawa perubahan besar bagi sejarah
peradaban manusia. Bapa bayi tersebut bernama Abdullah bin Abdul Mutallib yang
telah wafat sebelum baginda dilahirkan
iaitu sewaktu baginda 7 bulan dalam
kandungan ibu. Ibunya bernama Aminah
binti Wahab. Kehadiran bayi itu disambut
dengan penuh kasih sayang dan dibawa ke ka'abah, kemudian diberikan nama
Muhammad, nama yang belum pernah
wujud sebelumnya. Selepas itu Muhammad disusukan selama
beberapa hari oleh Thuwaiba, budak
suruhan Abu Lahab sementara menunggu
kedatangan wanita dari Banu Sa'ad. Adat
menyusukan bayi sudah menjadi kebiasaan
bagi bangsawan-bangsawan Arab di Makkah. Akhir tiba juga wanita dari Banu
Sa'ad yang bernama Halimah bin Abi-
Dhuaib yang pada mulanya tidak mahu
menerima baginda kerana Muhammad
seorang anak yatim. Namun begitu,
Halimah membawa pulang juga Muhammad ke pedalaman dengan harapan Tuhan akan
memberkati keluarganya. Sejak diambilnya
Muhammad sebagai anak susuan, kambing
ternakan dan susu kambing-kambing
tersebut semakin bertambah. Baginda telah
tinggal selama 2 tahun di Sahara dan sesudah itu Halimah membawa baginda
kembali kepada Aminah dan membawa
pulang semula ke pedalaman. Kisah Dua Malaikat dan Pembedahan Dada
Muhammad Pada usia dua tahun, baginda didatangi
oleh dua orang malaikat yang muncul
sebagai lelaki yang berpakaian putih.
Mereka bertanggungjawab untuk
membedah Muhammad. Pada ketika itu,
Halimah dan suaminya tidak menyedari akan kejadian tersebut. Hanya anak
mereka yang sebaya menyaksikan
kedatangan kedua malaikat tersebut lalu
mengkhabarkan kepada Halimah. Halimah
lantas memeriksa keadaan Muhammad,
namun tiada kesan yang aneh ditemui. Muhammad tinggal di pedalaman bersama
keluarga Halimah selama lima tahun.
Selama itu baginda mendapat kasih sayang,
kebebasan jiwa dan penjagaan yang baik
daripada Halimah dan keluarganya.
Selepas itu baginda dibawa pulang kepada datuknya Abdul Mutallib di Makkah. Datuk baginda, Abdul Mutallib amat
menyayangi baginda. Ketika Aminah
membawa anaknya itu ke Madinah untuk
bertemu dengan saudara-maranya, mereka
ditemani oleh Umm Aiman, budak suruhan
perempuan yang ditinggalkan oleh bapa baginda. Baginda ditunjukkan tempat
wafatnya Abdullah serta tempat dia
dikuburkan. Sesudah sebulan mereka berada di
Madinah, Aminah pun bersiap sedia untuk
pulang semula ke Makkah. Dia dan
rombongannya kembali ke Makkah
menaiki dua ekor unta yang memang
dibawa dari Makkah semasa mereka datang dahulu. Namun begitu, ketika mereka
sampai di Abwa, ibunya pula jatuh sakit
dan akhirnya meninggal dunia lalu
dikuburkan di situ juga.
Muhammad dibawa pulang ke Makkah oleh
Umm Aiman dengan perasaan yang sangat sedih. Maka jadilah Muhammad sebagai
seorang anak yatim piatu. Tinggallah
baginda dengan datuk yang dicintainya
dan bapa-bapa saudaranya. "Bukankah Dia mendapatimu sebagai
seorang yatim, lalu Dia melindungimu. Dan
Dia mendapatimu sebagai seorang yang
bingung lalu Dia memberikan
petunjuk" (Surah Ad-Dhuha, 93: 6-7) Abdul Mutallib Wafat Kegembiraannya bersama datuk baginda
tidak bertahan lama. Ketika baginda
berusia lapan tahun, datuk baginda pula
meninggal dunia. Kematian Abdul Mutallib
menjadi satu kehilangan besar buat Bani
Hashim. Dia mempunyai keteguhan hati, berwibawa, pandangan yang bernas,
terhormat dan berpengaruh dikalangan
orang Arab. Dia selalu menyediakan
makanan dan minuman kepada para tetamu
yang berziarah dan membantu penduduk
Makkah yang dalam kesusahan. Muhammad diasuh oleh Abu Talib Selepas kewafatan datuk baginda, Abu
Talib mengambil alih tugas bapanya untuk
menjaga anak saudaranya Muhammad.
Walaupun Abu Talib kurang mampu
berbanding saudaranya yang lain, namun
dia mempunyai perasaan yang paling halus dan terhormat di kalangan orang-orang
Quraisy.Abu Talib menyayangi Muhammad
seperti dia menyayangi anak-anaknya
sendiri. Dia juga tertarik dengan budi
pekerti Muhammad yang mulia. Pada suatu hari, ketika mereka berkunjung
ke Syam untuk berdagang sewaktu
Muhammad berusia 12 tahun, mereka
bertemu dengan seorang rahib Kristian
yang telah dapat melihat tanda-tanda
kenabian pada baginda. Lalu rahib tersebut menasihati Abu Talib supaya tidak pergi
jauh ke daerah Syam kerana dikhuatiri
orang-orang Yahudi akan menyakiti
baginda sekiranya diketahui tanda-tanda
tersebut. Abu Talib mengikut nasihat rahib
tersebut dan dia tidaak banyak membawa harta dari perjalanan tersebut. Dia pulang
segera ke Makkah dan mengasuh anak-
anaknya yang ramai. Muhammad juga
telah menjadi sebahagian dari
keluarganya. Baginda mengikut mereka ke
pekan-pekan yang berdekatan dan mendengar sajak-sajak oleh penyair-
penyair terkenal dan pidato-pidato oleh
penduduk Yahudi yang anti Arab. Baginda juga diberi tugas sebagai
pengembala kambing. Baginda mengembala
kambing keluarganya dan kambing
penduduk Makkah. Baginda selalu berfikir
dan merenung tentang kejadian alam
semasa menjalankan tugasnya. Oleh sebab itu baginda jauh dari segala pemikiran
manusia nafsu manusia duniawi. Baginda
terhindar daripada perbuatan yang sia-sia,
sesuai dengan gelaran yang diberikan iaitu
"Al-Amin". Selepas baginda mula meningkat dewasa,
baginda disuruh oleh bapa saudaranya
untuk membawa barang dagangan
Khadijah binti Khuwailid, seorang peniaga
yang kaya dan dihormati. Baginda
melaksanakan tugasnya dengan penuh ikhlas dan jujur. Khadijah amat tertarik
dengan perwatakan mulia baginda dan
keupayaan baginda sebagai seorang
pedagang. Lalu dia meluahkan rasa hatinya
untuk berkahwin dengan Muhammad yang
berusia 25 tahun ketika itu. Wanita bangsawan yang berusia 40 tahun itu
sangat gembira apabila Muhammad
menerima lamarannya lalu berlangsunglah
perkahwinan mereka berdua. Bermulalah
lembaran baru dalam hidup Muhammad
dan Khadijah sebagai suami isteri. Turunnya Wahyu Pertama Pada usia 40 tahun, Muhammad telah
menerima wahyu yang pertama dan
diangkat sebagai nabi sekelian alam.
Ketika itu, baginda berada di Gua Hira' dan
sentiasa merenung dalam kesunyian,
memikirkan nasib umat manusia pada zaman itu. Maka datanglah Malaikat Jibril
menyapa dan menyuruhnya membaca ayat
quran yang pertama diturunkan kepada
Muhammad. "Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang
menciptakan" (Al-'Alaq, 96: 1) Rasulullah pulang dengan penuh rasa
gementar lalu diselimuti oleh Khadijah
yang cuba menenangkan baginda. Apabila
semangat baginda mulai pulih, diceritakan
kepada Khadijah tentang kejadian yang
telah berlaku. Kemudian baginda mula berdakwah secara
sembunyi-sembunyi bermula dengan kaum
kerabatnya untuk mengelakkan kecaman
yang hebat daripada penduduk Makkah
yang menyembah berhala. Khadijah
isterinya adalah wanita pertama yang mempercayai kenabian baginda. Manakala
Ali bin Abi Talib adalah lelaki pertama
yang beriman dengan ajaran
baginda.Dakwah yang sedemikian
berlangsung selama tiga tahun di kalangan
keluarganya sahaja. Dakwah Secara Terang-terangan Setelah turunnya wahyu memerintahkan
baginda untuk berdakwah secara terang-
terangan, maka Rasulullah pun mula
menyebarkan ajaran Islam secara lebih
meluas. "Maka sampaikanlah olehmu secara
terang-terangan segala apa yang
diperintahkan (kepadamu) dan
berpalinglah dari orang-orang yang
musyrik." (Al-Hijr, 15:94) Namun begitu, penduduk Quraisy
menentang keras ajaran yang dibawa oleh
baginda. Mereka memusuhi baginda dan
para pengikut baginda termasuk Abu
Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Tidak
pula bagi Abu Talib, dia selalu melindungi anak saudaranya itu namun dia sangat
risau akan keselamatan Rasulullah
memandangkan tentangan yang hebat dari
kaum Quraisy itu. Lalu dia bertanya
tentang rancangan Rasulullah seterusnya.
Lantas jawab Rasulullah yang bermaksud: "Wahai bapa saudaraku, andai matahari
diletakkan diletakkan di tangan kiriku dan
bulan di tangan kananku, agar aku
menghentikan seruan ini, aku tidak akan
menghentikannya sehingga agama Allah
ini meluas ke segala penjuru atau aku binasa kerananya" Baginda menghadapi pelbagai tekanan,
dugaan, penderitaan, cemuhan dan ejekan
daripada penduduk-penduduk Makkah
yang jahil dan keras hati untuk beriman
dengan Allah. Bukan Rasulullah sahaja
yang menerima tentangan yang sedemikian, malah para sahabatnya juga
turut merasai penderitaan tersebut seperti
Amar dan Bilal bin Rabah yang menerima
siksaan yang berat. Wafatnya Khadijah dan Abu Talib Rasulullah amat sedih melihat tingkahlaku
manusia ketika itu terutama kaum Quraisy
kerana baginda tahu akan akibat yang
akan diterima oleh mereka nanti.
Kesedihan itu makin bertambah apabila
isteri kesayangannya wafat pada tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri bagindalah
yang tidak pernah jemu membantu
menyebarkan Islam dan mengorbankan
jiwa serta hartanya untuk Islam. Dia juga
tidak jemu menghiburkan Rasulullah di
saat baginda dirundung kesedihan. Pada tahun itu juga bapa saudara baginda
Abu Talib yang mengasuhnya sejak kecil
juga meninggal dunia. Maka bertambahlah
kesedihan yang dirasai oleh Rasulullah
kerana kehilangan orang-orang yang amat
disayangi oleh baginda. Hijrah Ke Madinah Tekanan orang-orang kafir terhadap
perjuangan Rasulullah semakin hebat
selepas kepergian isteri dan bapa saudara
baginda. Maka Rasulullah mengambil
keputusan untuk berhijrah ke Madinah
berikutan ancaman daripada kafir Quraisy untuk membunuh baginda. Rasulullah disambut dengan meriahnya
oleh para penduduk Madinah. Mereka
digelar kaum Muhajirin manakala
penduduk-penduduk Madinah dipanggil
golongan Ansar. Seruan baginda diterima
baik oleh kebanyakan para penduduk Madinah dan sebuah negara Islam
didirikan di bawah pimpinan Rasulullas
s.a.w sendiri. Negara Islam Madinah Negara Islam yang baru dibina di Madinah
mendapat tentangan daripada kaum
Quraisy di Makkah dan gangguan dari
penduduk Yahudi serta kaum bukan Islam
yang lain. Namun begitu, Nabi Muhammad
s.a.w berjaya juga menubuhkan sebuah negara Islam yang mengamalkan
sepenuhnya pentadbiran dan perundangan
yang berlandaskan syariat Islam. Baginda
dilantik sebagai ketua agama, tentera dan
negara. Semua rakyat mendapat hak yang
saksama. Piagam Madinah yang merupakan sebuah kanun atau perjanjian
bertulis telah dibentuk. Piagam ini
mengandungi beberapa fasal yang
melibatkan hubungan antara semua rakyat
termasuk kaum bukan Islam dan
merangkumi aspek politik, sosial, agama, ekonomi dan ketenteraan. Kandungan
piagam adalah berdasarkan wahyu dan
dijadikan dasar undang-undang Madinah. Islam adalah agama yang mementingkan
kedamaian. Namun begitu, aspek
pertahanan amat penting bagi melindungi
agama, masyarakat dan negara. Rasulullah
telah menyertai 27 kali ekspedisi tentera
untuk mempertahan dan menegakkan keadilan Islam. Peperangan yang ditempuhi
baginda ialah Perang Badar (623 M/2 H),
Perang Uhud (624 M/3 H), Perang Khandak
(626 M/5 H) dan Perang Tabuk (630 M/9 H).
Namun tidak semua peperangan diakhiri
dengan kemenangan. Pada tahun 625 M/ 4 Hijrah, Perjanjian
Hudaibiyah telah dimeterai antara
penduduk Islam Madinah dan kaum
Musyrikin Makkah. Maka dengan itu,
negara Islam Madinah telah diiktiraf. Nabi
Muhammad s.a.w. juga telah berjaya membuka semula kota Makkah pada 630
M/9 H bersama dengan 10 000 orang para
pengikutnya. Perang terakhir yang disertai oleh
Rasulullah ialah Perang Tabuk dan
baginda dan pengikutnya berjaya
mendapat kemenangan. Pada tahun
berikutnya, baginda telah menunaikan haji
bersama-sama dengan 100 000 orang pengikutnya. Baginda juga telah
menyampaikan amanat baginda yang
terakhir pada tahun itu juga. Sabda
baginda yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia, ketahuilah
bahawa Tuhan kamu Maha Esa dan kamu
semua adalah daripada satu keturunan
iaitu keturunan Nabi Adam a.s. Semulia-
mulia manusia di antara kamu di sisi Allah
s.w.t. ialah orang yang paling bertakwa. Aku telah tinggalkan kepada kamu dua
perkara dan kamu tidak akan sesat
selama-lamanya selagi kamu berpegang
teguh dengan dua perkara itu, iaitu kitab
al-Quran dan Sunnah Rasulullah." Wafatnya Nabi Muhammad s.a.w Baginda telah wafat pada bulan Jun tahun
632 M/12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah.
Baginda wafat setelah selesai
melaksanakan tugasnya sebagai rasul dan
pemimpin negara. Baginda berjaya
membawa manusia ke jalan yang benar dan menjadi seorang pemimpin yang
bertanggungjawab, berilmu dan
berkebolehan. Rasulullah adalah contoh
terbaik bagi semua manusia sepanjang
zaman.


HOME

Pair of Vintage Old School Fru